Nation
159

SPRM siasat semua penerima geran Mitra sejak 2019

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sejak 2019 hingga 2021.

Ini susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan MITRA, sejak beberapa hari lepas.

Menurut sumber sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh MITRA sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

“Peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh MITRA ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta. Peruntukan itu diluluskan kepada kira-kira 205 syarikat, persatuan dan NGO, dan daripada jumlah itu terdapat lapan syarikat memperoleh geran peruntukan lebih RM1 juta,” kata sumber itu.

Selasa lepas, SPRM mengumumkan penahanan 16 pengarah syarikat disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan MITRA.

Kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula 25 Okt, dan dianggarkan puluhan juta ringgit dilesapkan oleh kumpulan itu yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Menurut sumber itu lagi, pasukan penyiasat SPRM mempunyai kekangan untuk menyiasat kesemua kira-kira 337 program yang telah disalurkan peruntukan, maka pendekatan diambil adalah memberikan fokus kepada peruntukan melebihi RM1 juta pada masa ini.

“Siasatan SPRM dalam dua fasa dengan Fasa Satu memberi tumpuan kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang telah menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Bagi Fasa Dua pula SPRM akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas kira-kira 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata bagi penerima geran peruntukan di bawah RM1 juta, pasukan penyiasat telah mengenal pasti syarikat-syarikat terbabit dan pasukan khas yang dibentuk daripada SPRM dan kementerian itu akan memanggil semua yang terlibat untuk mereka membuktikan bahawa semua geran yang diterima telah dibelanjakan sebagaimana yang dipohon.

“Setakat hari ini, seramai 18 pengarah syarikat telah ditahan bagi membantu siasatan dan lebih ramai akan ditangkap memandangkan fokus tumpuan pasukan penyiasat di Fasa Satu ini ialah terhadap penerima-penerima geran bernilai RM1 juta dan lebih,” kata sumber itu.

Sumber itu juga berkata daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini, didapati 80 peratus daripadanya telah menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu