SANDAKAN — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang wanita yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket meminta rasuah dan memperdaya orang ramai membabitkan tawaran rumah bagi skim Program Perumahan Rakyat di Sandakan.
Menurut sumber, tangkapan ke atas suspek wanita berusia sekitar 40-an ini susulan penahanan seorang lelaki dan anaknya berusia sekitar 20 dan 40-an oleh SPRM Sabah semalam membabitkan kes yang sama.
Katanya, suspek wanita ini dipercayai menjadi dalang utama sindiket.
“Pemohon yang terpedaya memberikan wang kira-kira RM10,000 sejak tahun lalu dan membabitkan nilai puluhan ribu ringgit.
“Sindiket ini meminta wang rasuah sama ada secara tunai atau pindahan ke akaun bank dan menjanjikan rumah mesra rakyat termasuk insentif seperti perkakasan rumah kepada orang ramai yang berminat.
“Suspek wanita ini ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan ketika hadir bagi membantu siasatan kes berkenaan sekitar jam 10.35 malam tadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek ketiga ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini untuk tampil bagi membantu siasatan.