Nation
104

SRC: Mahkamah dengar rayuan Najib esok

Kuala Lumpur – Esok, Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta.

Ini merupakan cubaan pertama Najib selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu, setelah mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April untuk mendengar rayuan itu.

Najib telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan terbabit, antaranya ialah beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Najib, 67, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan ini selesai.

Seramai 21 wakil media termasuk daripada organisasi media antarabangsa akan diberi pas kebenaran untuk mengikuti prosiding tersebut menerusi video di dalam sebuah bilik. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu