Nation
176

Sri Ram tiada locus standi untuk berhujah ketika pendengaran permohonan Rosmah

Kuala Lumpur  – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk berhujah ketika pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor agar perbicaraan kes rasuah projek hibrid yang dihadapinya, diisytiharkan tidak sah dan terbatal.

Perkara itu ditimbulkan oleh pihak pembelaan yang mewakili Rosmah atas alasan isu yang akan dibangkitkan dalam penghujahan kelak melibatkan pelantikan beliau selaku pendakwa raya dalam perbicaraan isteri bekas Perdana Menteri.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam memaklumkan mahkamah bahawa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu akan hadir sendiri dan berhujah dalam permohonan tersebut.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah pernah berhujah mewakili dirinya ketika pelantikan beliau selaku pendakwa raya dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicabar oleh pihak pembelaan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamad Mustafa menjelaskan, Sri Ram akan berhujah mempertahankan dirinya kerana isu yang akan dibangkitkan melibatkan beliau secara peribadi yang mana pelantikannya selaku pendakwa raya dicabar oleh Rosmah.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah memberitahu pihak media, Sri Ram tiada hak di sisi undang-undang untuk berhujah kerana anak guamnya mencabar keabsahan surat pelantikan beliau selaku pendakwa raya.

Beliau menjelaskan, isu yang dibangkitkan terhadap Muhammad Shafee adalah berbeza kerana butiran seperti tarikh surat lantikannya ketika itu tidak dipertikai, berbanding Sri Ram yang didakwa langsung tiada kebenaran rasmi untuk mengendalikan pendakwaan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh turut memberitahu media di luar mahkamah bahawa sebagai seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Sri Ram sepatutnya sedia maklum bahawa beliau tiada hak untuk berhujah kerana isu yang dipertikai menyentuh dirinya secara peribadi.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes berhubung permohonan Rosmah untuk mengisytiharkan prosiding di Mahkamah Tinggi terbatal dan pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kesnya tidak sah dan tidak teratur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan permohonan itu didengar pada 3 Jun ini dan menyelesaikan isu-isu teknikal
berbangkit sebelum perbicaraan penuh bermula 9 Jun yang kini di peringkat pembelaan.

Rosmah, 69, diarah membela diri atas pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, beliau memfailkan permohonan antara lain bagi mendapatkan perisytiharan agar beliau dibebaskan daripada semua tiga pertuduhan, jika mahkamah memutuskan perbicaraan itu silap.

Permohonan itu difailkan berikutan Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuan Rosmah untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram, selepas pihak pendakwaan bersetuju menyerahkan dokumen itu kepada pihak pembelaan.

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Mahkamah Rayuan ketika itu berpuas hati surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya, surat itu bertarikh 8 Julai tahun lalu dan ditandatangani Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu