Nation
135

Statistik bantu pastikan rakyat Malaysia masih ada pendapatan, sara kehidupan seharian : Mustapa

Kuala Lumpur – Dalam usaha menangani kesan akibat COVID-19 dari sudut kesihatan dan ekonomi, kerajaan mempelajari bahawa statistik boleh membantu memastikan rakyat Malaysia kekal mempunyai pendapatan untuk keperluan asas bagi menyara kehidupan seharian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan juga mempelajari terdapat keperluan pada masa kini untuk menyusun dan menyebarkan statistik granular dan berasaskan masa sebenar.

“Contohnya, dalam memberikan bantuan kepada rakyat, kita memerlukan mekanisme data yang lebih mantap bagi menjejaki perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan kumpulan yang berada di bawah garis kemiskinan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Statistik Malaysia 2021 secara maya pada Rabu.

Beliau berkata pandemik ini juga telah meningkatkan kepentingan statistik, memandangkan semua pihak mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai pengangguran dan inflasi pada setiap bulan atau setiap minggu.

“Statistik seperti yang diperkatakan, tidak berbohong,” katanya.

Mustapa berkata untuk memenuhi harapan semua pihak, terdapat keperluan untuk penyebaran data granular yang cepat dan telus kepada rakyat Malaysia.

Mengenai Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), beliau berkata pada 14 Okt 2021 sebanyak 90 peratus penduduk telah dibanci, dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) tetap komited untuk menyelesaikannya menjelang akhir bulan ini.

Banci 2020 sepatutnya selesai pada 24 Okt, 2020 namun terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19, katanya.

Selain itu beliau berkata dalam situasi pandemik, walaupun dengan semua cabaran yang dihadapi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta prosedur operasi standard oleh kerajaan, tiada penerbitan DOSM yang terjejas.

“Malah, semua 519 penerbitan pada 2020 dan 269 penerbitan pada 2021, setakat 30 September telah dikeluarkan tepat pada masanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sepanjang tempoh beberapa siri PKP bermula tahun lepas, DOSM berjaya membekalkan maklumat dan laporan yang sangat berguna kepada umum hampir setiap hari.

Beliau berkata antaranya ialah Laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) yang kini telah memasuki siri kelapan mengandungi 322 indikator ekonomi.

Selain itu, 61 laporan DOSM Intelligence Kajian Kes Impak PKP di lapangan mengikut sektor terpilih seperti perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan; selain produk yang telah ditetapkan penyebarannya telah diterbitkan secara bulanan, suku tahun dan tahunan, katanya.

Mohd Uzir berkata melangkah ke hadapan, DOSM tanpa henti telah membekalkan statistik ekonomi dan sosial kepada kerajaan bagi tujuan penggubalan dasar negara.

Beliau berkata DOSM meneruskan kecemerlangan dengan penyebaran statistik sosioekonomi peringkat geografi terkecil dengan penerbitan Mylocal Stats.

“Penerbitan bagi setiap daerah ini mengandungi 101 jadual statistik pelbagai indikator ekonomi dan sosial.

“Antara indikator yang dikeluarkan seperti kadar pengangguran sebagai input kepada perancangan pembangunan sumber manusia di daerah-daerah yang terkesan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat,” katanya.

Persidangan Statistik Malaysia 2021 bertemakan ‘Mengemudi Daya Tahan Pemulihan Menerusi Statistik’, yang dianjurkan bersama DOSM, Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia, diadakan serentak dengan Hari Statistik Sedua yang disambut hari ini.

Mohd Uzir berkata sejajar dengan usaha pemulihan global, tema persidangan tahun ini bertepatan dengan situasi dunia yang sedang dalam fasa pemulihan dengan menggunakan penyelesaian statistik sebagai platform utama.

Menurut kenyataan DOSM pula, persidangan itu diadakan secara maya dengan melibatkan 18 kertas pembentangan dan 23 poster.

Persidangan ini diadakan untuk membincangkan analisis dan penemuan baharu serta bertukar pandangan dan idea antara perangkawan, penyelidik, pakar statistik dan pengguna data berkenaan dengan cabaran dalam penyusunan, penggunaan dan penyebaran statistik rasmi, jelasnya.

DOSM menambah, Hari Statistik Negara 2021 pula bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan komuniti statistik berkaitan kepentingan statistik kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang memerlukan keputusan yang betul serta berasaskan bukti dan fakta yang menyeluruh dan mencukupi.

Berlandaskan ketersediaan statistik yang tepat, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dalam memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, menurutnya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu