Kuala Lumpur Post

Social

Stoking kalimah Allah : Polis rakam keterangan pengasas KK Mart

PETALING JAYA — Polis sudah merakam keterangan Pengasas KK Mart, KK Chai dan tujuh individu berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataan berkata, semua individu tersebut dirakam keterangan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes itu, lapor Berita Harian.

Katanya, pengasas KK Supermart Superstore Sdn Bhd dirakam keterangan pada 12.30 tengah hari, semalam, di satu lokasi tidak didedahkan.

“Siasatan masih di peringkat awal dan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) JSJ akan melaksanakan siasatan secara menyeluruh ke atas kes penjualan stoking tertulis kalimah Allah yang dilaporkan dikesan di KK Mart, Bandar Sunway.

“Pihak UJST sedang mengenal pasti proses perolehan dan lain-lain yang bersangkutan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan akan meliputi semua aspek sebelum dapatan akhir dimuktamadkan dan setakat 12 tengah hari tadi sebanyak 80 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan kes itu.

Semalam, Pengarah JSJ Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

KK Mart kemudian tampil mohon maaf susulan kontroversi penjualan stoking itu di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan.

Sebuah syarikat vendor kemudian menyatakan sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China berhubung stoking tertera kalimah Allah yang dibekalkan kepada KK Mart.