Social
212

Suami cedera ditendang, dicakar isteri

Seberang Perai – Seorang lelaki cedera selepas mendakwa dicakar isterinya dalam kejadian perselisihan faham di sebuah pangsapuri di Telok Ayer Tawar, Butterworth di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi membabitkan pasangan berusia 30-an itu dikatakan tercetus apabila wanita berkenaan tidak dapat menahan kesabaran kerana dia sering didakwa curang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, perselisihan faham di antara mereka memuncak apabila suami tidak membawa anak tirinya untuk memotong rambut.

“Lelaki itu syak isterinya ada hubungan dengan lelaki lain, tetapi tiada apa-apa bukti dan mereka kerap bergaduh apabila suami kerap mengajukan soalan sama.

“Akibat daripada soalan yang ditanya, isteri berkenaan bertindak menendang muka suami dan mencakar badannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, hasil keterangan daripada wanita tersebut, dia mendakwa suaminya sering membuat provokasi dengan menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Sedangkan wanita itu berkata dia tidak ada hubungan sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan dan mencakar badan suaminya,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu membuat laporan polis bagi rujukan untuk ke mahkamah syariah bagi tindakan selanjutnya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu