Social
225

Suami cemburu tikam isteri

Kuala Lumpur – Seorang wanita warga Indonesia parah akibat ditikam suaminya di sebuah kediaman di Sungai Ramal, Kajang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata lelaki itu dipercayai bertindak demikian akibat cemburu kerana mengesyaki wanita itu ada hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, kejadian itu dilaporkan oleh orang awam pada jam 6.52 petang melalui talian kecemasan MERS 999.

“Pemeriksaan mendapati mangsa ditikam beberapa kali menggunakan senjata tajam dengan empat tikaman pada dada, satu tikaman masing-masing pada tangan kiri dan kanan, kaki kiri dan bawah dagu.

“Mangsa yang berusia 40-an dimasukkan ke Zon Kritikal Hospital Kajang sebelum dipindahkan ke wad biasa hospital terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pihak polis kini mengesan suspek utama yang juga suami mangsa, seorang warga Indonesia dikenali dengan nama panggilan Johari atau Jo, berusia 40-an.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang ada maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suresh di talian 017-4333795, atau mana-mana balai polis berhampiran. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu