Social
218

Suami isteri antara 4 ditahan edar dadah

Kulim – Polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan merampas bahan terlarang itu bernilai RM24,000 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Sazalee Adam berkata dalam tangkapan pertama sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Dingin dekat sini pada pukul 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis telah merampas beberapa paket plastik lutsinar yang berisi dadah jenis heroin seberat 270 gram dan syabu seberat 15 gram.

“Susulan tangkapan pertama, polis telah menahan seorang lagi lelaki di kawasan yang sama pada pukul 11.30 pagi dan merampas beberapa paket plastik lutsinar berisi heroin seberat 19.5 gram dan syabu seberat 2.5 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim hari ini.

Beliau berkata pada hari yang sama, polis juga menahan pasangan suami isteri di sebuah rumah di Kampung Bukit Rawa pada 6.30 petang dan merampas heroin seberat 207 gram dan syabu seberat 7 gram.

“Polis percaya lokasi rumah pasangan ini telah dijadikan sebagai tempat untuk memproses dadah berikutan penemuan alat penimbang yang ditemukan di dalam rumah berkenaan dan mereka disyaki telah aktif sejak 2009 lagi.

“Hasil saringan urin mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis morfin manakala wanita berkenaan negatif dan kesemua mereka yang berusia 19 hingga 50 tahun itu mempunyai jenayah rekod lampau yang melibatkan kes dadah,” katanya.

Sazalee berkata jika kesemua dadah ini terlepas ke pasaran, ia dijangka boleh digunakan 4,000 penagih di Mahang dan sekitar kawasan itu.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini serta kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu