Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Suami isteri antara 5 ditahan dipercayai terlibat sindiket bekal dadah

JOHOR BAHRU — Pasangan suami isteri antara lima individu yang diberkas dalam empat serbuan berasingan di bandar raya ini dan Iskandar Puteri pada 23 Sept lepas, dipercayai terlibat sindiket pembekalan dadah.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua warga tempatan tersebut termasuk tiga lelaki berusia antara 22 dan 32 tahun, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor pada 9 malam.

Beliau berkata menerusi serbuan itu, sebanyak 21.16 kilogram (kg) ganja dan 784 gram syabu yang kesemuanya bernilai RM67,027 dirampas.

“Hasil risikan selama tujuh bulan, kita dapati sindiket tersebut aktif sejak Mac tahun ini. Kami juga akan siasat dari mana sindiket ini mendapat bekalan dadah tetapi kebiasaannya dipercayai dari negara jiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga individu yang ditahan positif dadah jenis THC dan ketamin, manakala semakan rekod lampau menunjukkan tiga individu mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

Kamarul Zaman berkata kesemua individu itu direman enam hari bermula 24 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Kamarul Zaman berkata JSJN Johor akan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.11 juta melibatkan kes yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman dari 2002 hingga tahun lepas.

Beliau berkata pelupusan dadah seberat 301.54 kg dan 642.37 liter dadah jenis cecair akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

JSJN Johor, katanya pada tahun lepas juga telah melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 1,765 kg dan 3,717 liter dadah jenis cecair yang dirampas bernilai RM28.91 juta.

Sementara itu, mengenai persediaan menghadapi banjir, beliau berkata pihaknya bersiap sedia untuk menggerakkan kira-kira 15 bot, 12 lori, sebuah helikopter, tiga jet ski, anggota serta beberapa aset dan jentera lain.

“Saya yakin agensi lain juga sedang siap sedia dan saya berharap agar orang awam serta semua pihak patuhi arahan diberikan pihak penguatkuasaan.

“Mereka dinasihatkan dapatkan maklumat daripada jabatan kaji cuaca, polis dan agensi lain agar dapat bersiap sedia untuk beri bantuan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,