Social
154
0

Suami isteri curi barang farmasi, pasar raya ditahan

Klang – Polis menahan pasangan suami isteri yang disyaki terlibat mencuri pelbagai barangan yang mempunyai nilai tinggi di farmasi, kedai serbaneka dan pasar raya di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata kegiatan pasangan tersebut berjaya dihidu pihaknya susulan rakaman kamera litar tertutup sebuah farmasi di sekitar Klang Utara yang memperlihatkan mereka sedang memasukkan barang-barang curi ke dalam beg sandang milik mereka.

Katanya, pasangan tersebut memilih farmasi, kedai serbaneka dan pasar raya yang tidak mempunyai alat pengimbas barang di pintu keluar agar kegiatan mereka tidak dapat dikesan pihak premis.

“Mereka ditahan di rumah sewanya di Klang Utara sekitar 10 malam. Hasil siasatan terhadap pasangan berkenaan, kami juga telah menangkap dua lelaki tempatan di kedai runcit milik seorang daripada suspek sekitar 5.30 petang semalam, di Klang Selatan kerana terlibat membeli barangan yang dicuri pasangan tersebut.

“Pasangan ini menyasarkan barangan yang mempunyai nilai yang tinggi seperti susu bayi berjenama serta produk kosmetik dan penjagaan diri. Barang ini akan dijual kepada kepada dua lagi lelaki tempatan yang merupakan pemilik dan pekerja kedai runcit tersebut. Kesemua suspek berusia 20 hingga 40-an ini negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Nurulhuda berkata pemilik kedai tersebut akan membeli barangan yang dicuri pasangan itu sebelum dijual di kedai runcit dan dalam talian dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran.

Katanya kesemua suspek aktif melakukan kegiatan tersebut sejak setahun lalu dan pemilik kedai itu turut membeli barangan curi daripada individu lain di sekitar Klang Selatan serta Shah Alam.

“Dengan penangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian dengan nilai kerugian kira-kira RM50,000 di beberapa pasar raya, kedai serbaneka dan farmasi di sekitar daerah ini. Kesemua suspek direman sehingga esok dan ditahan mengikut Seksyen 380 dan 411 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Nurulhuda berkata pihaknya kini mengesan seorang lelaki tempatan, Muhammad Taufik Adam Abdullah atau dikenali sebagai ‘Nathan’ berusia 30-an dan beralamat terakhir di Jalan Keretapi Lama, Kapar bagi membantu siasatan kes kecurian komputer, komputer riba dan duit tabung di lima sekolah di daerah ini.

Katanya, empat lelaki tempatan bagi kes ini sudah ditahan dalam operasi selama dua hari bermula Selasa lalu iaitu tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Dua daripada mereka juga baru dibebaskan dari Penjara Kajang dan Bentong atas kesalahan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 awal tahun ini,” katanya

Kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu positif dadah jenis heroin direman sehingga hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu