Kuala Lumpur Post

Social

Suami isteri didakwa edar dadah

KUALA TERENGGANU — Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan nimetazepam.

Mohd Tarmizi Ramle,34, dan isterinya, Marline Mohd Pauzi, 37, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine seberat 5,708.18 gram (berat kasar), lapor BH Online.

Pasangan itu turut didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 631.91 gram (berat kasar).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan di sini, jam 1 petang pada 1 September lalu.

Pasangan yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan sebelum mahkamah menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zubairi Salleh.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri ditahan bersama pelbagai jenis dadah seberat lebih enam kilogram bernilai RM768,000.

Susulan penahanan mereka, polis merampas dadah dan menyita kenderaan, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.05 juta.