Social
203

Suami isteri dipukul, disamun

Penampang – Pasangan suami isteri cedera dipukul dan disamun dua lelaki ketika mereka sedang berehat dalam kereta di tepi jalan berhampiran gelanggang futsal di Putatan di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi itu, pasangan berusia lingkungan 30-an itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dan berhenti di tepi jalan untuk berehat dalam kereta kerana berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata mereka kemudiannya didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal sebelum memecahkan cermin kereta dipercayai menggunakan batang besi.

“Ketika itu berlaku pergelutan sebelum suspek memukul mangsa di kepala, manakala isterinya cedera di dahi dan lutut selepas ditarik keluar dari kenderaan oleh suspek.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri bersama beg duit berisi wang tunai selepas menyedari terdapat kenderaan lain melalui lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata, pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) menggunakan ambulans.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dengan senjata,” katanya. – BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu