Social
177

Suami isteri ditahan bersama dadah hampir setengah juta ringgit

Kuala Lumpur – Polis Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan pasangan suami isteri warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir setengah juta ringgit di Port Dickson, Negeri Sembilan, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata pasangan berusia 49 tahun (suami) dan 40 tahun (isteri) itu ditahan di sebuah rumah di Taman PD Seraya dalam operasi khas kira-kira 5 petang pada 21 Mei lepas.

“Susulan penahanan itu, membawa pasukan serbuan ke sebuah hotel di Jalan Seremban, Port Dickson dan menemukan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah, pihaknya menemukan sebuah beg milik seorang daripada suspek dan merampas 1,141 gram dadah jenis methamphetamine, 4,688 gram serbuk MDMA, 7,929 biji pil ekstasi serta merampas wang tunai berjumlah RM515.

Manurutnya, semakan mendapati hotel berkenaan dimiliki oleh isteri suspek dan rumah yang diserbu pula telah disewa selama enam bulan oleh pasangan itu dengan kadar sewa sebanyak RM1,500 sebulan.

Adnan berkata nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM424,388.40.

Jelasnya ujian saringan awal urin kedua-dua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine selain masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.

Pasangan itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula dari tarikh tangkap sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Beliau berkata dengan tangkapan ini, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan. – Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu