Social
103

Suami isteri mengaku tak bersalah beri anak hisap vape

Kuala Lumpur – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki mereka berusia setahun sembilan bulan dengan memberi kanak-kanak itu menghisap vape bulan lepas.

Kedua-dua tertuduh, masing-masing berusia 23 dan 21 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, didakwa secara bersama-sama telah mengabaikannya dengan cara memberi kanak-kanak itu menghisap vape yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves di sini, pada 1 pagi, 2 Mei lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun pasangan itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah.

Nor Rajiah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Mei lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memberi anak lelakinya menghisap vape susulan laporan polis yang dibuat oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas video rakaman kejadian tular menerusi media sosial. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu