Social
113

Suami isteri tokan dadah ditahan

Kuala Lumpur – Tindakan sepasang suami isteri menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu akhirnya membawa padah selepas kedua-dua mereka ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul telah menahan seorang lelaki di sebuah taman permainan di Segambut kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Tangkapan kira-kira pukul 4.30 petang itu seterusnya membawa pihak polis ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang diparkir di taman itu dan menemui dadah dipercayai kanabis seberat 2.54 kilogram serta wang tunai RM200.

“Berpandukan suspek, pihak polis kemudiannya telah menyerbu sebuah apartment di Bandar Sri Damansara, Petaling, Selangor dan menahan seorang wanita dipercayai isteri suspek dan merampas sejumlah dadah,”katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

“Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu adalah kanabis seberat 25.610 kilogram dan heroin seberat 0.4 kilogram yang ditemui di dalam bilik tidur pasangan berkenaan,” katanya.

Menurut Eng Lai, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki berusia 37 tahun negatif dadah manakala isterinya berusia 24 tahun pula didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pemandu e-hailing, dan akan menyediakan dadah siap dipeketkan mengikut permintaan pelanggan dan mendapatkan bekalan daripada pengedah dadah tempatan yang masih di dalam siasatan pihak polis.

“Kedua-dua pasangan ini dikesan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan Selangor sejak tujuh bulan lalu.

Menurut Eng Lai semakan dilakukan mendapati lelaki tersebut mempunyai tiga rekod lampau berkait jenayah dan dadah manakala isterinya tiada sebarang rekod.

“Kedua-dua saspek kini ditahan reman sehingga 29 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” tegas beliau. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu