KULIM — Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu suaminya terlanggar mangsa di Taman Selasih, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7 petang.
Beliau berkata, nahas membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu suami mangsa berusia 60-an dipercayai terlanggar pejalan kaki yang juga isterinya sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang parkir di hadapan rumah.
“Mangsa yang juga pejalan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika isteri mangsa keluar dari kereta berkenaan kerana tertinggal barang di dalam rumah.
“Suami mangsa yang ketika itu mengundur kereta berkenaan tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri dan terlanggar kereta yang parkir di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta Proton Saga itu tidak cedera manakala isterinya yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya, lapor Bernama.