Social
379

Suami ‘Zoeybaddiuskamaruzaman‘ dikenal pasti

Ipoh – Polis telah mengesan suami kepada wanita yang mendakwa menerima ancaman keselamatan yang dikatakan berpunca daripada masalah rumahtangga, yang ditularkan menerusi media sosial Tiktok menggunakan nama Zoeybaddiuskamaruzaman.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya akan mengambil keterangan lelaki itu dalam masa terdekat, bagi membantu siasatan lanjut.

“Kita telah menghubunginya melalui panggilan telefon dan akan mengambil keterangan, namun wanita itu masih belum memberi kerjasama untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak daripada Datuk Mazlan Santarai yang akan bersara wajib esok kepada Datuk Azizi Mat Aris, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman.

Majlis yang dijalankan di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini itu turut menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak daripada SAC Mohd Alwi Zainal Abidin yang akan menggantikan Azizi kepada Noorzainy Mohd Noor, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Seberang Perai dan memangku pangkat SAC.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan keterangan diambil, bagi mengetahui masalah dan ancaman sebenar yang didakwa wanita berkenaan.

“Kita juga sudah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bersama-sama cuba mendapatkan apa masalah yang dihadapi oleh wanita tersebut,” katanya.

Pada Jumaat lepas, wanita itu memuat naik video menerusi laman sosial Tiktok dengan memegang bayi dan mendakwa dia berasa terancam susulan masalah berkaitan rumahtangga, dan tiada bantuan diterimanya setelah menghubungi balai polis berdekatan.

Semakan polis mendapati pengadu ada membuat aduan dengan menghubungi Balai Polis Kampung Rapat di sini, mengenai sebuah kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya kira-kira pukul 7.15 pagi, namun pemantauan dan pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati tiada kenderaan mahupun individu mencurigakan, seperti diadukan.

Pihak polis turut menghantar pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh ke rumah pengadu bagi membantunya, namun wanita itu enggan memberikan kerjasama, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu