Kuala Lumpur Post

Nation

Suasana pilu selubungi istiadat Penghormatan Negeri bagi Allahyarham Tun Abdul Taib

KUCHING — Suasana pilu menyelubungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini, sebaik saja jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, tiba di sini bagi Istiadat Penghormatan Negeri.

Kenderaan membawa jenazah Allahyarham tiba di bangunan DUN pada jam 7.50 pagi tadi.

Turut mengiringi jenazah ialah anak Allahyarham, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Lapan orang pengusung dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudian membawa masuk jenazah Allahyarham dan meletakkannya di tempat khas di Atrium DUN Sarawak.

Pemergian Tun Abdul Taib Mahmud: Sarawak berkabung dua hari Jenazah Taib Mahmud selesai disolatkan di Masjid Negara.

Bangunan DUN Sarawak yang merupakan antara ikon utama negeri, mula dibanjiri orang ramai daripada pelbagai kaum seawal jam 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri itu yang telah banyak menyumbang bakti kepada Bumi Kenyalang.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Guru Al-Quran Majlis Islam Sarawak dan Persatuan Qari Bahagian Kuching turut diperdengarkan sempena istiadat berkenaan.

Istiadat Penghormatan Negeri bermula jam 8 hingga 11.30 pagi ini bagi membolehkan orang awam memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Solat jenazah dijadual diadakan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham, disusuli Istiadat Pengebumian Negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Abdul Taib yang juga digelar Bapa Pemodenan Sarawak, meninggal dunia kira-kira jam 4.40 pagi semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur.