Nation
402

Sultan Sharafuddin terkejut Selangor dapat dos vaksin tak seimbang

Shah Alam – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin COVID-19 sehingga 1 Jun lalu, dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda bertitah nisbah jumlah pemberian dos vaksin itu tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk di negeri ini yang berjumlah 6.5 juta.

“Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin COVID-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Beliau berkata, Sultan Selangor bertitah dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain selain itu baginda juga mahu agar jumlah pusat- pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

Jelasnya, baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

“Baginda turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif baharu di Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun mencecah 203,520 kes, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan (961 kematian sehingga 7 Jun).

“Justeru, baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor,

“Baginda turut menasihatkan kepada rakyat yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati serta merayu sekalian rakyat agar terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut memuji langkah kerajaan negeri ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan (swab test) COVID-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri. — BH Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu