SEREMBAN — Seorang suri rumah mengalami kerugian hampir RM1.5 juta selepas terperdaya dengan panggilan penipuan oleh individu menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima laporan berkait modus operandi sindiket panggilan penipuan melibatkan kerugian RM1,491,832.82 itu pada Jumaat.
“Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali menyamar sebagai polis dan menyatakan mangsa adalah suspek yang terlibat dalam jenayah penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mangsa kemudian diarahkan membuat pembayaran wang ke beberapa akaun bank milik individu tidak dikenali.
Mohamad Hatta berkata susulan itu orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.