Social
92

Suri rumah rugi RM18,000 diperdaya sindiket ‘love scam’

Kuala Lumpur – Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM18,000 apabila menjadi mangsa ‘love scam’ seorang lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook sejak 27 Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata warga emas berusia 71 tahun itu berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan suspek memaklumkan bahawa dia akan berlayar menaiki kapal kargo untuk ke Jepun bagi menjalankan projek membina landasan kereta api.

“Suspek kemudiannya memberitahu mangsa bahawa dia telah ditahan dan dibawa ke pelabuhan Melaka dan memohon kepada mangsa untuk membuat bayaran bagi melepaskannya.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah meminta bantuan anak saudaranya untuk memasukkan wang berjumlah RM18,000 ke tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek melibatkan tujuh kali transaksi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata setelah mangsa membuat transaksi berkenaan, suspek masih meminta wang daripada warga emas itu dengan alasan untuk melepaskannya daripada tahanan pihak kastam kerana membawa sejumlah wang yang banyak.

Mangsa sekali lagi meminta bantuan anak saudaranya untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberi suspek namun anak saudaranya itu enggan membantu dan memberitahu bahawa mangsa telah diperdaya.

Sundra Rajan berkata mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Tanjung Minyak semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru, beliau memohon orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan

“Orang ramai juga dinasihati supaya membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum membuat sebarang urusan,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu