Social
128

Suri rumah rugi RM7,000 diperdaya kenalan TikTok

Melaka – Terpedaya dengan janji untuk diberikan bantuan keperluan asas, seorang suri rumah kerugian kira-kira RM7,000 selepas barang kemas miliknya dicuri kenalan yang baharu dikenali dua minggu lepas di aplikasi TikTok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata dalam kejadian pada 11 pagi Sabtu lepas, suspek seorang lelaki datang ke rumah mangsa di Taman Desa Air Merbau, Jasin, untuk membawa wanita berusia 54 tahun itu membeli barang keperluan di pasar raya berhampiran.

“Suspek membuat helah dengan masuk ke rumah mangsa lalu mencuri barang kemas sebelum melarikan diri. Mangsa kemudian membuat laporan polis pada pukul 10.20 malam hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sukri berkata sejak 1 Jan lepas hingga hari ini, pihaknya menerima dua laporan melibatkan mangsa diperdaya untuk diberi bantuan sebelum menjadi mangsa curi.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sjn Muhamad Fadzlan di talian 018-3511594.

Mohd Sukri berkata orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan disaran mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul seperti jabatan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan, serta jangan sesekali memberikan butiran peribadi seperti nama dan alamat melalui media sosial kepada individu yang diragui atau baharu dikenali.

Katanya, ia kerana terdapat kumpulan individu yang mengambil kesempatan dalam situasi COVID-19 ketika ini dengan menggunakan modus operandi menghubungi atau datang ke rumah mangsa dan berpura-pura ingin memberikan bantuan, sebaliknya mengambil kesempatan melakukan jenayah curi atau samun.

“Polis Melaka memandang serius terhadap kes penyamaran dan jenayah seperti ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata pihaknya sedang mengesan individu yang dipercayai terlibat menggantung satu patung tertera tulisan mengecam kerajaan di jejambat Persimpangan Pusat Dagangan Ayer Keroh Melaka (MITC), di sini.

Beliau berkata patung yang dipakaikan baju berwarna putih, seluar biru serta topi jerami itu diturunkan pihak polis yang menyedari perbuatan tersebut kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.

“Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7.30 pagi dan laporan polis dibuat seorang anggota Balai Ayer Keroh yang menerima panggilan itu,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, lapor Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu