Social
263
0

Suspek buang sisa kimia ke Sungai Langat ditahan

Kuala Lumpur Р Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis memberkas suspek disyaki terbabit dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, pada 3 Februari lalu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, malam tadi bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek diberkas pihak berkuasa itu, semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor menemukan sebuah lori tiga tan disyaki digunakan dalam aktiviti itu yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar dan lori terbabit disita jabatan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa suspek terbabit ke muka pengadilan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

“Saya ingin menegaskan JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya.

Pada 3 Februari lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan turut memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong berisi bahan buangan berjadual yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu