Kuala Lumpur Post

Social

Suspek guna identiti orang lain hantar bom palsu ke Motac diburu polis

KUALA LUMPUR – Polis mengesan individu yang disyaki menggunakan identiti penghantar bungkusan lain bagi mengirim bungkusan bom palsu ke bangunan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC), di Putrajaya, 5 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, individu itu dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada hari sama.

“Kita dapati suspek yang menghantar (bungkusan bom palsu) menggunakan identiti penghantar bungkusan lain.

“Orang itu (identiti penghantar bungkusan sebenar) memang ada namun tidak hadir dan tiada kena mengena dengan isu ini. Tetapi, kita ada gambar suspek (CCTV) namun, ia tidak jelas,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Susulan penemuan gambar suspek, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan lanjut.

“(Suspek) memakai pelitup muka, inilah orang yang datang, duduk di depan ketika mendaftar barang seterusnya menyerahkan bungkusan ini.

“Dengan bentuk fizikal seperti ini, saya percaya suspek adalah warga tempatan,” ujarnya.

Sehubungan kejadian itu, beliau juga menyarankan orang ramai agar memasang CCTV berkualiti selain mengawal ketat individu yang memasuki premis dengan topeng, pelitup muka dan juga topi keledar.

Terdahulu pada 5 Jun lalu, Kosmo! melaporkan polis mengesahkan bungkusan dipercayai mengandungi bom yang dihantar ke bangun MOTAC, Putrajaya, adalah palsu.

Bungkusan dihantar perkhidmatan penghantaran pada pukul 11.19 pagi itu dikategorikan sebagai ‘hoax’ atau hampir menyerupai bom sebenar.