Social
295

Suspek kes bunuh bayi meninggal dunia

Shah Alam – Seorang suspek lelaki yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang bayi perempuan telah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tanjung Karang petang semalam, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata polis Kuala Selangor menerima laporan pada 12.25 tengah hari semalam berkenaan satu pergaduhan keluarga berlaku di Kampung Parit Mahang, Jeram yang mengakibatkan bayi perempuan berusia satu tahun lapan bulan maut, akibat ditetak bapa saudaranya.

“Pergaduhan ini melibatkan sesama ahli keluarga yang berpunca daripada isu kewangan yang ketika kejadian ibu bayi berkenaan turut mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, suspek yang berusia 27 tahun itu telah ditangkap oleh ahli keluarganya sendiri dan ditangkap semula oleh pihak polis pada 1.30 tengah hari dan turut merampas sebilah parang panjang.

“Semasa tangkapan semula ini dibuat, pihak polis mendapati suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha untuk membuat tangkapan terhadap suspek,” katanya.

Arjunaidi berkata suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan pada 4 petang, suspek didapati berada dalam keadaan sangat lemah dan telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang dengan menaiki ambulans.

“Pihak hospital telah mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk merawat suspek namun suspek telah disahkan meninggal dunia pada 6.37 petang dan pihak keluarga telah dimaklumkan berkenaan kejadian itu,” katanya.

Katanya bedah siasat akan dilakukan seberapa segera selepas pihak hospital mendapatkan keputusan ujian saringan COVID-19 ke atas si mati.

Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga si mati agar siasatan dapat dibuat bagi tujuan mendapatkan punca sebenar kematian suspek.

Susulan itu juga katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah membuka kertas siasatan yang akan menumpukan kepada aspek prosedur operasi standard kewajipan berjaga-jaga (duty of care) dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu