Kuala Lumpur Post

Social

Suspek kes samun ditemukan mati

GEORGETOWN — Polis mengesahkan seorang lelaki yang ditemukan mati di lereng bukit berdekatan Taman Jesselton, di sini, semalam, disyaki terbabit dalam kes samun dan pecah rumah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu dijumpai berada dalam keadaan tertiarap pada jam 4.40 pagi.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian lelaki terbabit berpunca daripada kecederaan kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Polis turut menjumpai sebuah beg galas di sebelah mayat yang mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau selain beberapa barangan seperti alat pemotong, pemutar skru dan sarung tangan.

“Peralatan itu disyaki digunakan tujuan pecah rumah selain polis turut menemui sebilah pisau pemotong daging dalam beg berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kok Chin mendedahkan sebelum penemuan itu sepasukan polis dari Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 1 dan 18 menjalankan Op Rantau Dawai di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam operasi 12.30 tengah malam itu, pasukan pemerhati terserempak dengan tiga lelaki mencurigakan dan mengarahkan mereka berhenti namun kesemuanya melarikan diri.

“Mereka melarikan diri ke arah yang tidak diketahui dalam suasana gelap dan pasukan pemerhati kemudiannya melakukan pencarian.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek bersama dua lagi rakannya yang meloloskan diri itu terbabit dengan jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kediaman elit di Taman Jesselton,” katanya.

Beliau berkata, cap jari dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diambil untuk mengesan identiti lelaki itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Polis ingin menasihati orang awam agar sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,” katanya, lapor Harian Metro.