Kuala Lumpur Post

Social

Suspek pukul jururawat ditahan polis

KUALA PILAH — Polis menahan suspek kes pukul jururawat di Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani, berkata permohonan reman terhadap suspek juga sudah dibuat di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.

“Seorang lelaki ditahan di Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah, petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes jururawat wanita yang ditarik dari keretanya, sebelum dipukul sehingga separuh sedar malam Jumaat lalu.

“Suspek yang berusia 34 tahun direman selama empat hari bermula hari ini. Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan pembabitan suspek dalam kes ini,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai motif kejadian, beliau berkata, polis masih menjalankan soal siasat terhadap suspek termasuk hubungannya dengan wanita itu.

Dalam kejadian jam 10 malam Jumaat lalu, mangsa yang berusia 30-an ditemui tertiarap dan luka pada kepala.