Social
791

Suspek pukul pengawal peribadi terlibat aktiviti ah long, judi

Klang – Kisah dua pengawal peribadi yang tular dipukul hanya kerana berpuasa semalam membongkar episod baharu apabila majikannya dipercayai terlibat dalam aktiviti ah long dan judi.

Perkara itu terbongkar hasil penahanan empat lelaki termasuk seorang pengurus yang menjalankan aktiviti haram itu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada pukul 10 malam hari sama.

Kesemua yang ditahan berusia 35 hingga 47 tahun disyaki terlibat dalam memukul dua pengawal peribadi itu.

Sementara, majikan kepada dua pengawal peribadi yang dipukul itu ditahan oleh Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, menerusi penangkapan itu membawa kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dalam rumah salah seorang suspek tersebut di Bukit Tinggi di sini.

Katanya, turut ditemukan adalah 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM28.25juta.

“Kita turut merampas sepucuk pistol jenis glock bersama 10 butir peluru yang dibawah kawalan salah seorang mangsa dan merupakan kepunyaan milik sebuah syarikat kawalan keselamatan. Dua rotan digunakan semasa kejadian turut dirampas polis.

“Siasatan awal mendapati majikan mangsa yang berusia 44 tahun itu terlibat dalam kegiatan ah long dan judi haram,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan awal kejadian merotan sehingga mencederakan dua pengawal peribadi itu susulan perselisihan faham antara dua mangsa dengan majikannya atas alasan berpuasa, kelmarin.

Tambah Arjunaidi, ini berkemungkinan terlewat (masuk kerja) akibat berbuka puasa namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mangsa cedera di badan, kepala dan lengan serta menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

“Tiga daripada suspek yang ditahan direman selama lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324, Seksyen 298, Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ketika ditanya sebarang kemungkinan terlibat dalam Geng Nicky, Arjuandi menegaskan siasatan semua sudut sedang dijalankan dengan pihaknya juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta pemberi pinjam wang (APPW) 1951.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiada sebarang unsur perkauman atau agama sebaliknya lebih kepada peribadi dan terpencil serta tidak rancang pihak tertentu.

Kosmo! Online terdahulu melaporkan seorang lelaki yang juga majikan kepada dua pengawal peribadi sanggup menampar kepala termasuk mengacukan sepucuk pistol dan membuat ugutan bunuh kerana tidak suka kedua-dua lelaki berkenaan berpuasa. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu