Social
960

Suspek terlibat pergaduhan dikenalpasti

Kuala Lumpur – Polis sudah mengenal pasti identiti lima lelaki dipercayai terbabit pergaduhan hingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala rakannya parah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata usaha mengesan suspek berkenaan sedang giat dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berlaku di lorong dekat Jalan Telawi, Bangsar.

“Polis menerima maklumat mengenai pergaduhan itu jam 1 pagi tadi. Siasatan mendapati mangsa maut berusia 28 tahun dan rakannya yang parah berumur 30 tahun. Mereka sebelum itu minum minuman keras di sebuah kedai di Jalan Telawi, di sini sebelum berjalan ke tempat letak kenderaan.

“Di situ mereka berjumpa dengan sekumpulan lelaki dan berlaku pergaduhan dipercayai kerana dendam lama.

“Lelaki yang maut itu ditoreh badan dan ditikam masing-masing menggunakan pisau dan botol arak oleh suspek. Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah dan terjatuh di hadapan kedai serbaneka 24 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Rakannya yang parah muka pula masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah,” katanya.

Orang awam mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau balai polis berdekatan.

Terdahulu, BH melaporkan mangsa dan suspek terbabit kejadian itu dikatakan mengenali antara satu sama lain dan tinggal di kawasan sekitar Selayang serta Taman Wahyu, di sini.

Video pergaduhan itu dipercayai dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian turut tular di media sosial. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu