Nation
669

Syarikat jualan langsung didenda RM5 juta

Putrajaya – Sebuah syarikat menjual produk makanan tambahan kesihatan didenda RM5.15 juta atas kesalahan pengubahan wang haram serta mempromosikan dan menjalankan aktiviti jualan langsung tanpa lesen sah.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin lepas.

Denda sebanyak RM150,000 telah dikenakan di bawah kesalahan Seksyen 4 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) kerana menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah manakala denda RM5 juta lagi atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana menerima wang berjumlah RM450,000 hasil daripada aktiviti haram.

Syarikat tersebut didakwa atas enam pertuduhan menerima wang berjumlah RM450,000 hasil aktiviti haram daripada urus niaga jualan langsung tanpa lesen sah, melibatkan tiga akaun semasa syarikat di tiga bank berbeza.

Syarikat itu yang dituduh di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001, didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 17 Sept 2017 hingga 21 Nov 2018.

Bagi kesalahan mempromosikan dan menjalankan aktiviti jualan langsung tanpa lesen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), syarikat itu didakwa telah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 4 AJLSAP 1993.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Okt 2018 kira-kira pukul 11.30 malam, di sebuah premis di Kuala Lumpur.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP Syazwani Zawawi bagi kesalahan di bawah AJLSAP 1993, manakala Rohaiza Zainal pula bagi kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sepanjang tempoh 2016 hingga 2021 kementerian telah melaksanakan tindakan ke atas beberapa kes melibatkan jualan langsung dan skim antipiramid sehingga peringkat pelucuthakan dengan nilai RM55.99 juta dan denda sebanyak RM17 juta.

“KPDNHEP akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah serta aktiviti skim piramid yang menyalahi undang-undang ini.

“Pengguna diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan aktiviti jualan langsung tanpa lesen yang sah atau berunsurkan skim piramid ini,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu