Social
440

Syarikat langgar SOP beri durian percuma disiasat

Parit Buntar – Polis membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat yang menganjurkan pemberian buah durian secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong di sini, sehingga melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata Balai Polis Parit Buntar menerima maklumat awam berhubung kejadian itu dan pihaknya segera ke lokasi serta mengarahkan penganjur menghentikan program itu serta-merta.

“Anggota polis yang pergi ke lokasi mendapati orang ramai sedang beratur panjang tanpa penjarakan sosial untuk mendapatkan buah durian percuma itu.

“Polis kemudian mengarahkan penganjur menghentikan program itu serta-merta. Ekoran itu, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka ke atas penganjur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazuki berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika ditemui media selepas penyerahan cek tabung amanah kepada Ida Marsita Harun, 45, balu kepada Allahyarham Sarjan Mohamad Nasrul Othman, 47, di sini, hari ini, turut menasihatkan mana-mana penganjur yang ingin memberikan durian percuma kepada orang ramai supaya mengutamakan SOP.

Beliau berkata, program pemberian durian kepada umum secara berkumpulan ini tidak wajar dibuat ketika pandemik, sebaliknya penganjur boleh terus memberinya ke rumah penduduk, lapor BH Online.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu