Social
329
0

Syarikat pengeluar sarung tangan, 2 anak syarikat berdepan 30 pertuduhan

Kuala Lumpur Р Brightway Holdings Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berdepan 30 pertuduhan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan, dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesalahan itu dikesan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam operasi penguatkuasaan di Klang, Selangor pada 21 Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, antara kesalahan adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM mengikut Seksyen 24D Akta 446 dan pelanggaran peraturan di bawah akta sama.

Syarikat terbabit juga didapati melanggar peraturan di bawah Akta 446 membabitkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetap iaitu Jadual Subperaturan 3 (1)(2)(i) Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan.

“JTKSM kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan sebanyak 22 pertuduhan dibuka terhadap Brightway Holdings Sdn Bhd dan anak syarikat, Biopro (M) Sdn Bhd, manakala satu lagi anak syarikat, La Glove (M) Sdn Bhd akan berdepan lapan pertuduhan.

“Semua kertas siasatan kini di peringkat akhir penyediaan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” menurut kenyataan itu.

KSM menegaskan, sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan Akta 446 serta peraturan di bawahnya tidak akan dikompromi.

Justeru, KSM menyeru mana-mana majikan dan penyedia penginapan berpusat yang belum lagi membuat sebarang permohonan Perakuan Penginapan supaya segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bersama agensi penguatkuasaan KSM melakukan serbuan terhadap dua blok kontena setinggi tiga tingkat di bahagian belakang kilang berkenaan.

Hasil serbuan mendapati ratusan pekerja warga asing dipercayai tinggal bersesak-sesak di blok kontena yang buruk dan tidak mempunyai kemudahan yang baik untuk pekerja asing di situ. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu