Kuala Lumpur Post

Nation

Syed Saddiq isytihar harta RM1.9 juta

MUAR — Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM1.9 juta.

Presiden MUDA itu berkata, pengisytiharan harta dimilikinya setakat 30 September lalu berkenaan dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Katanya, kebanyakan aset itu diperoleh sebelum dan selepas beliau menyertai politik, termasuk ketika memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang lalu.

Jumlah itu termasuk wang tunai dimilikinya berjumlah lebih RM45,000 serta pelaburan lain bernilai RM1.2 juta.

Beliau juga memiliki sebuah motosikal Yamaha NVX bernilai RM8,500 selain membiayai kenderaan milik abangnya serta sebuah basikal terpakai Pinarello berharga RM8,000.

Aset lain diisytiharkan termasuk satu unit kondominium di Kuala Lumpur bernilai RM880,000 dan masih dalam pembinaan serta memiliki pegangan 50 peratus rumah keluarga di Elmina, Shah Alam, Selangor.

Beliau turut memiliki dua ekor kucing yang tidak ternilai bernama ‘Toby dan Meow Meow’.

“Saya tidak memiliki aset di luar negara, tiada tanah, saya tidak ada jam mahal, saya tiada baju mewah dan tidak memiliki akaun bank luar negara.

“Sepanjang saya menjadi menteri juga, tiada seorang pun ahli keluarga saya dapat sebarang kelebihan, malah tender projek kementerian dibuat secara terbuka,” katanya pada sidang media di Pejabat MUDA Parlimen Muar di Sungai Balang di sini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menggesa supaya semua bekas menteri lain mengisytiharkan harta masing-masing kerana rakyat berhak tahu.

“Sebab itu isytihar harta ini penting, supaya rakyat tahu dari mana terima dana, apakah datang dari pemberian kontrak, daripada jawatan menteri, daripada kerajaan, semua ini dapat dikesan. Kalau kita masuk politik untuk dapat kontrak, jangan masuk politik.

“Saya tahu selepas ini akan ada orang kritik dan saya menerima kritikan dengan hati terbuka, cadangan dengan hati terbuka, cuma saya berharap kritikan dan cadangan ini disampaikan juga kepada sahabat lain untuk isytihar aset dan harta mereka,” katanya.

Ditanya sama ada calon MUDA lain yang bertanding pada PRU15 turut mengisytiharkan harta mereka, Syed Saddiq berkata, semuanya akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

“Saya calon pertama (untuk MUDA yang isytihar harta), untuk calon MUDA lain nanti akan mula satu persatu, mereka akan isytihar harta,” katanya, lapor BH Online.

Tags: ,