Nation
112

Syed Saddiq kekal pengakuan tidak bersalah

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lepas.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Pada 5 Ogos lalu, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, beliau didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kedua-dua kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 25 Nov ini.

Suzana kemudian menetapkan 30 Nov untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Azura Alwi turut menetapkan tarikh sama (30 Nov) untuk sebutan semula dua lagi kes dihadapi Syed Saddiq berhubung pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Haijan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya juga telah memfailkan permohonan supaya dua kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan permohonan itu akan didengar di hadapan hakim sama (Mohamed Zaini) pada 25 Nov.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu