Kuala Lumpur Post

Nation

Tahun Baharu 2024 diharap beri suasana lebih cerah, positif kepada rakyat : PM Anwar

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan Tahun Baharu 2024 akan memberi suatu suasana lebih cerah dan positif kepada rakyat dengan Kerajaan Perpaduan akan menumpukan usaha terhadap pembangunan ekonomi demi kesejahteraan mereka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara ini akan terus menjadi tumpuan kerajaan bagi meredakan kesusahan rakyat daripada pelbagai aspek seperti inflasi, pengangguran dan kos sara hidup, selain menjamin perkhidmatan mutu pendidikan dan kesihatan.

Dalam hal itu, Anwar menggesa Jemaah Menteri, barisan pegawai kanan, agensi penguat kuasa, badan keselamatan, penjawat awam serta sektor swasta supaya meningkatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat dan gagah di rantau ini.

“Kita melabuh tirai menutup tahun 2023, wajar saya mulakan dengan memberikan sedikit rumusan mengulangi apa yang telah disampaikan kepada umum bahawa kedudukan prestasi pertumbuhan ekonomi masih bertahan kepada empat peratus.

Ini antara terbaik, tetapi ada lagi nikmat dan kejayaan, umpamanya penurunan inflasi kurang daripada dua peratus, penurunan kadar pengangguran yang sangat rendah,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Facebook beliau, malam ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mahu terpukau dengan angka dan data berkenaan kerana ukuran sebenarnya ialah kemaslahatan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat ketika ini masih perlu ditangani.

Perdana Menteri berkata, tumpuan penuh terhadap usaha memacu pertumbuhan ekonomi perlu dilakukan dengan membetulkan tatakelola dalam kepimpinan serta pentadbiran awam.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana berjaya melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Sementara itu, Anwar berkata, bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, kaedah penyampaian perkhidmatan yang lama tidak boleh lagi diguna pakai, sebaliknya perlu diperbaiki dan ia termasuk mempercepatkan proses kelulusan setiap jabatan seolah-olah menghadapi isu keselamatan dan keadaan darurat.

Beliau berkata, hanya dengan cara ini, ekonomi boleh dipacu dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing.

Sementara itu, Anwar berkata soal perpaduan dan keselamatan rakyat terus menjadi antara cabaran yang perlu diberikan keutamaan dengan memastikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Bumiputera serta Bahasa Melayu tidak diganggu.

“Semangat perpaduan untuk memeluk keseluruhan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, itu tugas hakiki yang tidak boleh disangkal ataupun diringankan. Kalau ini dapat kita capai, kita boleh beralih daripada permasalahan titik bengik yang tidak berkesudahan,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan berjaya bekerja sebagai satu pasukan dan ia adalah berkat satu sistem politik yang stabil yang baru dicapai setelah negara dilanda suasana ketidaktentuan selama beberapa tahun.

“Hasil pandangan dan nasihat dan pedoman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu khususnya keputusan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, kita telah dapat mengharungi dengan bergaya dan berjaya (menghadapi segala cabaran).

“…dengan kekuatan dan kestabilan kita dapat bekerja sebagai satu pasukan dan menangani isu-isu yang asas untuk rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri.

Tags: , ,