Nation
176

Taiwan kongsi pengunaan teknologi pintar tangani Covid-19 dengan Malaysia

Kuala Lumpur – Taiwan berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dengan Malaysia melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian perubatan pintar dalam memerangi pandemik COVID-19, kata Ketua Pengarah Pentadbiran Insurans Kesihatan Nasional (NHIA) Taiwan Dr Lee Po-Chang.

Bercakap dalam webinar bertajuk “Taiwan and Malaysia, Joining Hands in Bringing Greater Health to Life” semalam, Dr Lee berkata negaranya memerangi wabak berkenaan melalui teknologi insurans kesihatan sejagat.

“Kami membina sistem MediCloud untuk membolehkan maklumat perubatan dikongsi antara hospital dan klinik bagi mencegah penyebaran COVID-19. Sistem pengesan kontak TOCC (Perjalanan, Pekerjaan, Kontak, dan Kluster) mampu menyediakan petugas kesihatan barisan depan mengenai cara untuk memperoleh dan memahami sejarah kontak penuh pesakit,” katanya.

Webinar berkenaan dianjurkan oleh Biro Perdagangan Luar Negeri, Taiwan (R.O.C), Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), dan Pusat Perdagangan Taiwan Kuala Lumpur untuk mempamerkan rawatan perubatan terkini dan teknologi pintar dalam kehidupan.

Pameran secara dalam talian ini disertai sejumlah 11 hospital dan syarikat terkemuka dalam bidang perubatan dari Taiwan antaranya termasuk Hospital Nasional Taiwan University Branch Hsin-Chu, Chang Gung Memorial Hospital, National Cheng Kung University Hospital, Hualien Tzu Chi Hospital, Shin Kong Wu Ho Su Memorial Hospital, Landseed International Hospital, TaiHao Medical, Insight Medical Solutions, Chiun Mai Communication Sistem, Wel-Bloom BioTech, dan Bioteknologi OmQi.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Taiwan Healthcare hari ini, sistem kepakaran kesihatan Taiwan termasuk Chang Gung Memorial Hospital, iaitu pakar bagi rawatan barah, telah berkongsi perjalanan rawatan pesakit kanser mereka menggunakan Terapi Proton sekali gus mengujakan para peserta webinar berkenaan.

“Cawangan Hsin-Chu Hospital Universiti Nasional Taiwan, hospital awam paling ikonik di Taiwan, memperkenalkan perkhidmatan teleperubatan imej dinamik mereka yang memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit sebelum menjalani rawatan perubatan di luar negeri, bermula dari penilaian praoperasi hingga ke pemeriksaan susulan selepas operasi.

“Di antara penyelesaian penjagaan kesihatan pintar, Insight Medical Solutions telah mempamerkan InsightEyes EGD mereka, endoskopi magnetik pertama di dunia yang menawarkan pemeriksaan pada masa nyata saluran gastrointestinal (pencernaan) atas.

“Melalui penambahbaikan, prosedurnya mudah, tidak menyakitkan, tidak memerlukan penggunaan anestesia. Syarikat yakin bahawa teknologi itu menawarkan alternatif yang sesuai untuk pesakit yang tidak suka teknik tradisional endoskopi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pernyataan itu mengatakan imbasan ultrabunyi payudara dan mesin imbasan TaiHao Medical Inc. berfungsi seperti pembantu Kecerdasan Buatan (AI) yang membantu doktor menjalankan pemeriksaan payudara yang berkesan untuk mengurangkan kemungkinan salah diagnosis dan tidak dapat mengenal pasti tumor yang berbahaya.

“Prosedur bantuan imbasan ultrabunyi AI ini untuk pemeriksaan tumor payudara membantu dalam mengurangkan risiko kesilapan manusia dan meningkatkan ketepatan semasa ujian dijalankan, dan telah mendapat kebenaran untuk di pasarkan di Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan.

Produk lain yang dikongsikan ialah sistem Penjagaan Kesihatan Fusion Smart yang dibangunkan oleh Chiun Mai Communications Systems Inc. Ia menyediakan penyelesaian menyeluruh berdasarkan pengesanan masa nyata dan komunikasi tanpa wayar, yang sesuai untuk kegunaan hospital dan rumah jagaan, yang membolehkan aliran kerja yang optimum, meningkatkan kecekapan dan perlindungan keselamatan, katanya.

Sesi webinar itu juga mempamerkan pelbagai perkhidmatan OEM makanan kesihatan oleh Wel-Bloom Bio Tech Corporation, dan Sistem Pengurusan Kesihatan Quantum Biotech Cloud oleh OmQi Biotechnology Co Ltd.

“Penyelesaian sedemikian bertujuan untuk membina hubungan kerja dengan rakan sejawat Malaysia bagi membuka jalan ke arah kehidupan yang lebih pintar dan sihat untuk lebih ramai orang,” tambahnya.

Untuk mengikuti sesi penuh webinar ini, anda boleh melayari https://youtu.be/6tO5UFOY_wY.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk mengunjungi pavilion penjagaan kesihatan “Taiwan Expo in Malaysia 2021 Online” secara dalam talian (https://mys.taiwanexpoasean.com/en/index.html) dari 4 hingga 6 Ogos untuk mengetahui lebih lanjut mengenai industri penjagaan kesihatan di Taiwan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu