Politics
1K

Tajuddin dakwa Tun M berbohong

Petaling Jaya – Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbohong kerana tidak menjelaskan perihal sebenar mengenai pengunduran Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, Musa bukan dipecat bekas Perdana Menteri itu, tetapi meletak jawatan sendiri kerana Dr. Mahathir pada ketika itu dilihat tidak mempercayai­nya sebagai pemimpin kedua ter­tinggi dalam kerajaan.

“Waktu itu saya Exco Pemuda UMNO, dan saya baik dengan Tun Musa, jadi saya mengikuti perkembangan kejadian waktu itu. Tun Musa bukan dibuang atau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, ketika itu berlaku pada 1985.

“Ia bukan macam yang Tun kata, Musa Hitam dipecat kerana ada gerakan untuk jatuhkan dia. Dan dikatakan beliau berpakat dengan Tengku Razaleigh. Itu tak betul.

“Tun Musa Hitam sendiri letak jawatan sebab Tun Mahathir tidak percaya kepada dia sebagai Timbalan Perdana Menteri. Habis, kalau dah bos sendiri tak yakin dengan orang kanan dia sendiri, buat apa jadi Timbalan Perdana Menteri kan? Sebab itu dia letak jawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tajuddin tu­rut berkata, pengunduran Mu­sa tidak dipaksa mana-mana pihak, lantas bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhijrah ke London supaya tidak mahu ada yang ‘memujuk’ beliau daripada keputusan yang diambil itu.

“Dia terus terbang ke London, tak mahu orang datang jumpa dia, pengaruh dia atas keputusan yang dah dibuat. Dan Dr. Mahathir suruh beberapa orang Menteri Besar pergi ke London pujuk Tun Musa Hitam balik semula ke Malaysia, ja­ngan letak jawatan.

“Ia termasuklah Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Mokhtar Wan Ahmad, yang menjadi ketua rombongan ketika itu. Dan saya bersama dalam kapal terbang. Cuma saya pergi sebagai kawan. Saya nak ambil tahu dan simpati apa yang berlaku. Jadi, saya sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia ambil peluang ikut sama,” katanya.

Bagaimanapun jelas Tajuddin, usaha tersebut tidak membuahkan hasil untuk memujuk Musa pulang kembali ke Malaysia.

Oleh sebab itu, Tajuddin mem­persoalkan mengapa Dr. Mahathir berbohong, kononnya memperlihat beliau seorang pentadbir sempurna yang tidak langsung melakukan sebarang kesalahan.

“Tun Mahathir kata dia pecat Tun Musa, buat apa dia hantar rombongan untuk pujuk balik Tun Musa? Semuanya dia yang betul, tak ada yang salah. Macam sempurna sangat.

“Padahal, Tun Mahathir takut dengan bayang-bayang sendiri. Keliling cucuk dia nak jawatan itu jawatan ini. Tun Mahathir rasa takut sebab Tun Musa lebih popular dan ramai yang lebih selesa dengan dia. Sama macam Tun Mahathir takutkan Anwar. Sebab itu hubungan Tun Mahathir dengan dia jadi tak elok,” katanya. – Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu