Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Politics

Tajuddin tahu sebab beliau digugurkan dari Majlis Tertinggi UMNO : Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sendiri mengetahui sebab beliau digugurkan daripada ahli Majlis Tertinggi UMNO, dan apa yang dilakukannya kepada parti, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata adalah tidak adil jika orang lain yang memberitahu perkara itu kepada umum, sebaliknya sebaik-baiknya media bertanyakan sebab Tajuddin digugurkan kepada tuan badan sendiri.

“Tanya beliau sendiri apa kenyataan yang telah beliau buat, apa bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang dinyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya kepada media apabila ditanya adakah Tajuddin digugurkan kerana melanggar peraturan parti, selepas pelancaran Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2022 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

Ahmad Zahid berkata kuasa pelantikan (ahli MT UMNO) ialah kuasa presiden parti dan mana-mana ahli MT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

“Sesuatu ketetapan harus dipatuhi. Kita boleh berbeza pendapat di dalam perbincangan atau mesyuarat, tetapi apabila sesuatu keputusan itu telah dibuat maka keputusan itu merupakan keputusan parti. Dan kita perlu mematuhi peraturan parti, bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata MT UMNO dijadual bermesyuarat malam ini bagi menterjemahkan beberapa perkara yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang ditemui pada majlis sama, berkata secara peribadi beliau berpandangan apa yang diputuskan oleh Presiden UMNO itu merupakan hak presiden dalam perlembagaan (parti).

“Pada sayalah apa yang diputuskan (presiden parti) itu ialah untuk memberikan peluang kepada Tajuddin menumpukan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,