Nation
233

Tak perlu tubuh RCI untuk siasat dakwaan KPN : Takiyuddin

Kota Bharu – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkannya.

Beliau berkata ini kerana perkara itu boleh diselesaikan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya rasa tidak timbul (isu penubuhan RCI), sebagaimana kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu masalah dalaman yang boleh dikendalikan SPP.

“SPP dipengerusikan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara juga adalah ahlinya. Saya rasa tidak ada masalah yang besar untuk menyelesaikannya, SPP boleh selesaikan masalah polis dan penjawatan,” katanya pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Abdul Hamid menerusi program ‘Sinar Live bersama IGP’ bahawa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu