Nation
272

“Tak sesuai naikkan harga barangan dan perkhidmatan ketika ini”

Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpandangan situasi ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk peniaga dan industri menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata KPDNHEP mengambil maklum permohonan daripada beberapa syarikat dan industri yang terlibat dalam pelbagai jenis produk makanan, bahan makanan dan barangan keperluan harian yang berhasrat menaikkan harga produk keluaran mereka.

“Kementerian berpandangan bahawa ini bukanlah waktu yang sesuai untuk peniaga dan industri menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka. Langkah ini tentunya akan menambahkan beban kepada pengguna yang sememangnya telah terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata KPDNHEP komited bagi memastikan kelangsungan ekonomi domestik ketika negara berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, namun kementerian juga bertanggungjawab dalam melindungi hak dan kepentingan pengguna bagi mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

“Kementerian menyeru semua pihak, komuniti peniaga dan pengguna untuk bersama kerajaan dalam menumpukan sepenuh perhatian dan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutamanya dalam menurunkan kes harian dan menyegerakan pencapaian imunisasi kelompok,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP juga telah memohon kepada kerajaan untuk menyegerakan program imunisasi khusus kepada barisan hadapan ekonomi supaya negara boleh bergerak ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Tags: , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu