Nation
801
0

Takiyuddin bakal ganti Sanusi sebagai MB Kedah?

Masalah demi masalah yang ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Noor telah menyebabkan usaha sedang dibuat bagi menggantikan beliau, paling lewat selepas pilihan raya umum akan datang.

Tokoh yang disebut-sebut bakal menjadi pilihan bagi menggantikan beliau adalah Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang- undang) sekarang.

“Takiyuddin ni orang Kedah. Walaupun selepas habis belajar dia banyak habis masa di Kelantan, dia perlu gantikan Sanusi. Kalau tidak orang dah percaya kat kita lagi,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Sanusi, bekas Setiausaha Politik Tan Sri Azizan Razak ketika dia menjadi menteri besar dahulu telah dipilih sebagai menteri besar selepas kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir jatuh bulan Mei 2020 lalu.

Namun, sejak awal menjadi menteri besar sehingga sekarang, isu yang melanda kerajaan negeri tidak pernah reda.

“Mula-mula dia arah roboh kuil Hindu. Penganut Hindu marah. Lepas itu, dia pi beli kereta Vellfire guna duit Sada, rakyat Kedah marah.

“La ni, dia pi bergaduh lagi dengan India bila dia batal cuti Thaipusam.

“Sekarang pejabat MB pun dah kena tutup kerana Covid-19 sampai orang Hindu kata ni balasan dari tuhan dia.

“Sampai bila kita nak bergaduh ni,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Bagi beliau Takiyuddin adalah tokoh Pas yang layak untuk mengambil alih pentadbiran negeri Kedah selepas PRU-15 nanti.

“Takiyuddin ni orang Sik. Keluarga dia berpengaruh di sana. Bukan orang Pas saja, orang Umno pun boleh sokong dia. Datuk Hamid Othman bekas menteri agama juga keluarga dia.

“Jadi saya rasa Takiyuddin ni sesuai ganti Sanusi,” kata beliau lagi.

Bagaimana dengan tokoh-tokoh Pas Kedah yang lain. Takkan tiada ulama ke yang boleh menggantikan Sanusi?

Bagi beliau, buat masa sekarang tidak nampak tokoh ulama di Kedah yang boleh dilantik menjadi MB walaupun Pas mempunyai ramai tokoh-tokoh ulama di Kedah.

Pesuruhjaya Pas Kedah sekarang adalah Ustaz Ahmad Yahaya, bekas Adun Alor Mengkudu tetapi tewas dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.

Beliau diantara tokoh Pas Kedah yang berwibawa kerana pengalamannya dalam parti itu.

Ahmad Yahaya melibatkan diri dalam politik sejak tahun 1997. Beliau pernah diberi kepercayaan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Alor Setar, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kedah, Setiausaha Muassasah Darul Ulum, Pengerusi Lajnah Tarbiyah, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah serta Setiausaha Lajnah Pendidikan PAS Pusat.

Di samping itu, Datuk Dr Hayati Othman adalah tokoh lain yang dikira sesuai untuk menggantikan Sanusi selain Takiyuddin.

Beliau adalah antara empat Exco kerajaan negeri Kedah dari Pas sekarang selain Datuk Siti Aishah Ghazali, Wan Romani Wan Salim dan Datuk Najmi Ahmad. – Malaysia Dateline

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu