Social
236

Taktik baharu penipuan tawaran kerja dalam talian dikesan

Seremban – Polis Negeri Sembilan mengesan taktik baharu membabitkan sindiket penipuan tawaran kerja kosong yang kononnya melalui syarikat beli-belah dalam talian terkenal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Superintenden Aibee Ab Ghani berkata antara Februari hingga Julai lepas, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM570,000 dengan kerugian tertinggi RM138,000.

Beliau berkata modus operandi suspek ialah iklan tawaran kerja kosong atau sambilan sama ada melalui aplikasi WhatsApp, Instagram serta Facebook dan individu berminat akan menekan pautan diberikan yang menggunakan logo platform beli-belah dalam talian.

“Suspek seterusnya akan berkomunikasi dengan mangsa dan memberikan arahan untuk kerja yang perlu dilakukan dengan dijanjikan pulangan keuntungan antara lima hingga 10 peratus daripada modal diberikan.

“Mangsa perlu mempromosi barangan yang dijual dengan membelinya mengikut unit yang ditetapkan dan pembayaran tersebut akan dipulangkan semula beserta komisen bagi setiap penjualan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Aibee berkata mangsa kemudian diarah memasukkan wang ke dalam akaun individu atau perniagaan persendirian yang diberikan suspek.

Kebiasaannya, mangsa akan berjaya mendapat modal dan keuntungan pada peringkat awal namun apabila mula memasukkan wang dalam jumlah yang banyak, nombor telefon mangsa akan disekat dan tidak dapat berhubung lagi dengan suspek.

Beliau berkata kes terbaharu semalam membabitkan seorang wanita berusia 33 tahun yang mendakwa kerugian sebanyak RM10,049 selepas terpedaya dengan iklan tawaran kerja sambilan bagi mempromosi barangan sebuah platform beli-belah dalam talian yang dilihat di laman Facebook.

Sehubungan itu, Aibee menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan individu yang menggunakan pelbagai cara untuk menipu selain tidak mudah percaya jika diarahkan membuat sebarang bayaran terutama melibatkan akaun individu atau perniagaan.

“Orang ramai juga boleh menyemak nombor telefon atau akaun yang diberikan melalui laman sesawang Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Semak Mule,” katanya.

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu