Social
164

Taktik kirim ganja dalam bungkusan mi segera gagal

Sarikei – Taktik mengirim ganja dalam bungkusan mi segera menggunakan perkhidmatan pos berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Khamis lalu.

Pengarah JKDM Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, pegawai kastam di Unit Pos Bungkusan, Stesen Sarikei membuat pemeriksaan ke atas satu bungkusan yang diikrar sebagai bahan makanan yang tiba dari Semenanjung Malaysia menggunakan pos domestik pada 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang mengandungi mi segera berkenaan menemui tiga bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi bahan terlarang disyaki ganja.

“Dadah berkenaan dianggarkan seberat 30 gram dengan anggaran nilai RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Menurutnya, usaha mengesan pemilik bungkusan sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

“Modus operandi yang digunakan dengan membungkus ganja dalam bungkusan mi segera dan dihantar melalui perkhidmatan pos domestik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan,” katanya.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu