Social
433

Taktik penjenayah pakai PPE bakar mayat mangsa bunuh terbongkar

New Delhi – Lima ahli satu geng penjenayah di India menggunakan taktik memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika mahu membakar mayat seorang lelaki yang mereka bunuh.

Ia bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa kononnya mereka mahu membakar mayat individu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas kelima-limanya ditahan pihak berkuasa ketika membakar mayat mangsa di sebuah tempat pembakaran.

AFP melaporkan kejadian itu berlaku di Agra, bandar di utara India.

Menurut laporan berkenaan, sebelum itu lelaki terbabit dijemput menghadiri satu majlis keraian oleh kelima-lima suspek.

Mangsa dikatakan berhutang 4 juta rupee (RM223,324) dengan kumpulan itu.

Pada acara itu, suspek bertindak membunuh lelaki berkenaan dengan cara ‘melemaskan’ mangsa.

Kumpulan itu kemudian memakai PPE dan membawa mayat mangsa ke sebuah tempat pembakaran mayat.

Ketua Polis tempatan, Muniraj G berkata, mereka mendaftarkan mangsa dengan nama palsu.

“Untuk mengelak daripada tertangkap, mereka memakai alat PPE dan menggunakan beg mayat untuk mengangkut mayat ke tempat pembakaran.

“Bagaimanapun, polis yang menerima maklumat daripada seseorang berjaya menahan kelima-lima suspek,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kelima-lima suspek mengakui membunuh mangsa.

India antara negara terjejas teruk akibat gelombang ketiga Covid-19 pada April dan Mei menyebabkan hospital di negara itu dibanjiri pesakit.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu