Social
315

Taktik tunda kereta Alphard penuh dadah terbongkar

Ipoh – Polis berjaya melumpuhkan sindiket dadah rangkaian antarabangsa susulan penahanan dua beranak dan merampas dadah bernilai RM23.72 juta di Lebuhraya Timur Barat, Gerik, Sabtu lalu, lapor BH Online.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang menunda Toyota Alphard, dipercayai taktik untuk mengelak dihidu pihak polis.

Katanya, operasi dijalankan hasil maklumat awam membabitkan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Perak dengan kerjasama JSJN Bukit Aman.

“Hasil pemeriksaan kenderaan yang ditunda itu, polis menemui sejumlah 447 bungkusan mengandungi dadah jenis Methamphetamine dan Ketamin dengan anggaran berat 448 kilogram (kg).

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas ini boleh digunakan seramai 2,166,175 penagih dadah. Dadah ini dipercayai diperoleh dari Thailand.

“Dadah ini disimpan dalam bungkusan teh cina dan kita percaya untuk dipasarkan ke negara Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Australia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini, hari ini.

Razarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sejak Ahad lalu hingga 3 Julai ini.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, berusia lingkungan 27 tahun dan 58 tahun tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, membolehkan polis menyita wang tunai bernilai RM19,672,” katanya.

Beliau berkata, hasil risikan turut mendapati suspek dan sindiket berbeza di beberapa lokasi kini menggunakan taktik mengangkut kenderaan di atas trak penunda sebagai modus operandi baharu mengedar dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu