IPOH — Takut dikenakan hukuman gantung kerana dikatakan terlibat dengan kes jenayah berat, seorang peniaga berputih mata apabila kerugian berjumlah RM118,880 akibat diperdaya sindiket ‘phone scam’ di Teluk Intan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata wanita berusia 48 tahun itu mendakwa diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya pegawai daripada Lembaga Hasil Dalam pada 14 Sept lepas.
Beliau berkata suspek memaklumkan bahawa wanita itu mempunyai cukai tertunggak berjumlah RM58,982, namun wanita berkenaan menafikan perkara tersebut.
“Suspek meminta mangsa (wanita) membuat laporan polis secara dalam talian kononnya nama mangsa disalahgunakan seorang lelaki yang menyatakan mangsa telah bersubahat bersamanya melakukan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.
“Suspek kemudian menyambungkan talian telefon kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai Koperal Iskandar dan meminta RM98,000 bagi tujuan siasatan dan memaklumkan wang mangsa akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Adnan berkata seorang lagi suspek kononnya “Sarjan Redzwan” pula memaklumkan wanita berkenaan akan dikenakan hukuman gantung dan sebatan sebanyak 15 kali kerana kes mangsa merupakan jenayah berat.
“Mangsa sekali lagi dihubungi Sarjan Redzwan pada 15 Sept lepas memintanya mengisytiharkan kesemua aset dimiliki dan turut menerima panggilan seorang lagi suspek menyamar sebagai ‘Datuk SAC Amirul’ meminta mangsa mengambil gambar kad bank milik suami mangsa.
“Pada hari yang sama, mangsa telah mengeluarkan wang daripada akaun Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM21,500 dan kemudian melakukan tujuh transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank atas nama Rokih,” katanya.
Beliau berkata mangsa sekali lagi dihubungi Datuk SAC Amirul pada Isnin lepas yang mengarahkan mangsa menggadaikan barang kemas miliknya dengan hasil gadaian berjumlah RM97,380.
“Mangsa yang terpedaya telah memindahkan keseluruhan wang simpanan serta wang diperoleh daripada hasil gadaian barang kemas kepada tiga institusi kewangan tempatan dengan jumlah kerugian sebanyak RM118,880,” katanya.
Katanya mangsa yang ketakutan kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan membuat laporan polis pada 1.49 tengah hari semalam.