Nation
114

Tampil buat laporan jika difitnah : KPN

Melaka – Polis menasihati Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tampil membuat laporan berhubung rakaman audio perbualan telefon yang tular, sekiranya benar diri mereka difitnah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima tujuh laporan daripada pelbagai pihak dan sehingga pagi ini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh dua pemimpin politik itu atau wakil mereka.

“Kita lihat daripada tempoh, reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sekiranya ia sampai ke tahap orang ramai sudah rasa bimbang dan gusar, kita akan jalankan siasatan.

“Saya tidak dimaklumkan (laporan dibuat Ahmad Zahid dan Anwar), kita tunggu sajalah, kalau betul mengatakan beliau difitnah, tampillah membuat laporan demi kebaikan juga,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Bersepadu Op Khazanah (OBK) Siri 7 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Katanya, tindakan susulan akan dilakukan apabila laporan dibuat dan kertas siasatan akan dibuka jika individu terbabit mendakwa dirinya difitnah.

“Proses menilai bukti termasuk analisis rakaman audio itu juga akan dijalankan apabila kertas siasatan dibuka,” katanya.

Berkaitan isu Geng Nicky, beliau berkata pihak berkuasa masih percaya Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang kini dalam buruan polis, masih berada di dalam negara.

“Ini kerana rangkaiannya semua telah ditangkap dan saya yakin pasukan khas di bawah Datuk Ketua Polis Johor (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay), terus gigih untuk menilai apa juga maklumat yang dikongsikan orang ramai,” katanya.

Sementara itu di IPOH, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin juga menyatakan yang Ahmad Zahid dan Anwar perlu membuat laporan polis jika yakin tidak terlibat dalam perbualan telefon itu.

Hamzah berkata mana-mana pihak tidak perlu takut jika tidak membuat kesalahan dan boleh membuat laporan polis untuk tujuan siasatan ketulenan rakaman audio tersebut.

“Kalau Zahid kata dia tidak ada buat perbualan itu, dia patut yakin dan buat laporan polis. Sebab sehingga semalam, tiada laporan polis yang dibuat begitu juga Anwar.

“Saya ingin maklumkan, rakyat boleh buat laporan polis namun jika laporan itu palsu, ia adalah satu kesalahan. Jadi kalau dia rasa tidak melakukan kesalahan buat apa takut, buatlah laporan polis,” katanya selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun hari ini.

Hamzah berkata pihaknya dimaklumkan, sudah ada laporan polis dibuat berkaitan rakaman audio tersebut namun bukan dari pegawai Ahmad Zahid mahu pun Anwar sendiri. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu