Nation
800

Tan Sri J.J Raj meninggal dunia

Kuala Lumpur – Bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Tan Sri J.J Raj yang terkenal menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong, Johor satu masa dahulu, meninggal dunia hari ini di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi tadi akibat Cardiac Arrhythmia, semasa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam, untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, pada petang ini.

“Mendiang sebelum ini, terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh dalam mengetuai Skuad Harimau menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas Komunis, sewaktu era Darurat tahun 1950.

“Kemuncak karier mendiang dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan mendiang sangat besar, dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada PDRM dan negara.

Beliau bersama timbalannya Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Mendiang J.J. Raj dilahirkan pada 27 Julai 1921 di Chemor, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Michael’s Institution Ipoh, sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada tahun 1952, dan dikurniakan dengan empat anak serta tiga cucu.

Beliau mula menyertai PDRM sebagai Inspektor Pelatih pada tahun 1946 dan menjadi Ketua Polis Daerah Pagoh pada tahun 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis di Bukit Kepong, sewaktu darurat di Tanah Melayu pada 23 Feb 1950.

Sepanjang perkhidmatan beliau dalam PDRM, beberapa jawatan penting pernah disandang beliau iaitu Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) (sebelum KL menjadi Wilayah Persekutuan), Ketua Polis Pahang (1961), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967) dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada tahun 1974 serta bersara pada tahun 1976.

Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam pasukan PDRM dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu