KUALA LUMPUR — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, disambung pada hari ketiga hari ini dengan hampir 50 jam pencarian.
Operasi yang ditangguhkan 7 malam semalam disambung semula kira-kira jam 9.30 pagi ini dengan operasi pencarian ditumpukan di lurang kedua di Jalan Melayu dan ketiga kumbahan di persimpangan Jalan Melayu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affande Sulaiman bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat hadir kira-kira jam 9.56 pagi di lokasi kejadian.
Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi SAR mangsa insiden tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di sini, dibuka secara berperingkat setelah usaha mencari mangsa di kawasan dilaporkan mangsa menemui jalan buntu.
Hari ini operasi SAR dijangkakan membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).
Tinjauan di lokasi mendapati ahli keluarga berada di sini seawal 8 pagi dan anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, diberikan penerangan berhubung operasi hari ini dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berbangsa India sebagai jurubahasa.
Pengamal media juga berada di lokasi kejadian sejak jam 8 pagi bagi membuat liputan pencarian yang memasuki hari ketiga.
Pemerhatian mendapati kebanyakan premis perniagaan berdekatan lokasi walaupun tidak ditutup dengan garisan kuning polis namun tidak beroperasi seperti biasa.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab berhubung pencarian pada hari ini.
Pada Jumaat lepas, media melaporkan mangsa merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada 8.22 pagi itu.